Tampilkan postingan dengan label rendah hati dalam islam. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label rendah hati dalam islam. Tampilkan semua postingan

Rendah Hati (Al-Tawadu‘)

Semua akhlak yang dipraktikkan oleh Nabi bersumberkan daripada al-Qur’an. Akhlak ini telah membentuk karakter tersendiri dalam diri Nabi s.a.w. dan berpengaruh besar terhadap kehidupan sosialnya. Suatu saat Sayidah ‘Ā’isyah ditanya tentang akhlak Nabi s.a.w., ‘Ā’isyah kembali bertanya kepada orang yang bertanya itu: Apakah kamu pernah membaca al-Qur’an? dijawab: “Pernah.” ‘Ā’isyah meneruskan jawabannya: “Akhlak Nabi adalah al-Qur’an.”

Apabila akhlak Nabi bersumberkan daripada ajaran Al-Qur’an, maka sifat rendah hati yang memancar dari rumah Nabi juga berasal daripada al-Qur’an. Allah s.w.t. menegaskan bahawa Dia akan menjauhkan rahmat dan tanda-tanda kekuasaan-Nya dari orang-orang yang sombong dan tidak mempunyai sifat rendah hati. Allah berfirman dalam surah al-A’rāf, 7: 146, yang ertinya: “Aku memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku.”

Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang sangat suka menderma, hatinya sangat lembut, dan peri lakunya sangat sopan. Beliau sangat ramah terhadap keluarganya. Orang yang baru mengenal akan merasa takut kerana kewibaannya, namun setelah sekian lama bersamanya dia akan mencintainya.[1]

Sifat-sifat mulia tersebut sangat dirasakan oleh isteri-isteri Rasul dalam kehidupan mereka. Keadaan seperti ini, sudah semestinya sangat mempengaruhi kepribadian mereka, sehingga mereka sendiri juga menghiasakan diri mereka dengan akhlak-akhlak yang mulia tersebut, mereka terbiasa dengan sifat rendah hati dan tidak suka menyombong.

Rendah Hati dan Sombong


Sikap rendah hati (tawādu‘) adalah sebalik daripada sikap sombong (takabbur). Rendah hati adalah bahagian daripada akhlak yang mulia, manakala sikap sombong merupakan akhlak yang tercela.

Tawādu‘ adalah sikap rendah hati namun tidak sampai pada taraf merendahkan kehormatan diri dan tidak sampai juga pada memberikan peluang kepada orang lain untuk melecehkan kemuliaan diri.

Takabbur adalah sikap merasa lebih cekap dan lebih mulia daripada yang lain. Kesombongan adalah sikap terlalu yakin terhadap diri sendiri, sehingga muncul perasaan menganggap rendah dan hina  terhadap orang lain serta enggan berkumpul dengan orang lain. Orang seperti ini tidak dapat menerima perbezaan pendapat apalagi nasihat orang lain. Jka ada orang yang mengingatkannya dia akan marah bahkan menghina orang tersebut.

Apabila kita amati, jika seseorang mempunyai sikap tawādu‘ maka akhlak-akhlak mulia yang lain akan terdapat pada dirinya, seperti perasaan bahawa manusia ini sama, lebih mengutamakan orang lain, toleran, dapat memahami perasaan orang lain dan boleh membantu orang yang terzalimi.

Adapun kesombongan akan menjerumuskan seseorang kepada sikap-sikap negatif yang lain, seperti hasad, dengki, pemarah, egois, terpedaya dengan diri sendiri dan selalu ingin menguasai.

Orang yang mempunyai sifat sombong cenderung merendahkan kawan-kawan sesamanya. Jika ia telah menguasai ilmu pengetahuan tertentu maka dia akan menghina dan mencela kawan-kawannya yang tertinggal ilmu pengetahuannya. Jika berkumpul dan bergabung dengan orang lain, dia menganggap hodoh dan menghina mereka, dan jika membuat suatu kerja, dia selalu melakukannya seorang diri.[2]

Kerana sikap sombong dan ‘ujub (bangga terhadap diri sendiri) hampir sama, maka Imam al-Ghazālī membuat perbandingan antara kedua sikap tersebut. Dia mengatakan dengan tegas bahawa takabbur (sombong) berbeza  dengan ‘ujub, orang yang ‘ujub tidak akan menyakitkan orang lain, kerana dia hanya sebatas membanggakan diri sendiri secara berlebihan namun tidak disertakan dengan sikap merendahkan atau menghina orang lain.  Takabbur (sombong) juga berbeza dengan al-‘azamah (merasa bangga dengan kemampuan yang dimilikinya), kerana orang yang dalam hatinya terdapat perasaan ‘azamah, masih menganggap adanya orang lain yang lebih baik dan lebih cekap daripada dirinya, atau paling tidak masih ada orang yang sama dengan dirinya.[3]

Berkata Ibn Maskawaih dalam kitab Tahdhīb al-Akhlāq:

Orang yang pandai dan terhormat semestinya terhindar daripada sifat takabbur (sombong) dan bangga terhadap diri sendiri. Ada sebuah kisah, seorang penguasa berbanga diri di hadapan seorang hamba sahaya yang pandai. Melihat hal ini hamba sahaya tersebut berkata: Jika kamu berbangga diri kepadaku atas kuda yang kamu miliki, maka keistimewaan yang engkau banggakan adalah milik kuda itu bukan milikmu. Jika kamu berbangga diri kerana bajumu, maka yang cantik adalah bajumu, bukan dirimu, dan jika kamu berbangga diri kerana kehormatan atuk-atukmu, maka kehormatan itu adalah milik mereka bukan milikmu.[4]

Larangan Bersikap Sombong dalam al-Qur’an


Al-Qur’an melarang manusia untuk bersikap sombong dan amat menganjurkan mereka untuk bersikap rendah hati. Larangan ini di antaranya terdapat dalam kumpulan ayat yang menceritakan tentang nasihat Luqmān al-Hakīm kepada anaknya, iaitu terdapat dalam surah al-Isrā’, 17: 37-38, yang ertinya: “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung. Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu.”

Dalam surah al-Nahl, 16: 22-23, Allah s.w.t. berfirman yang ertinya: “Maka orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, hati mereka mengingkari (keesaan Allah), sedangkan mereka sendiri adalah orang-orang yang sombong. Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahasiakan dan apa yang mereka lahirkan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong.”

Allah s.w.t. juga berfirman dalam surah Luqmān, 31: 18-19, yang ertinya: “Dan janganlah memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai.”

Al-Qur’an juga mengecam dan mengancam orang-orang yang sombong. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-A‘rāf, 7: 146, yang ertinya: “Aku memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku.”

Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Mu’min, 40: 35, yang ertinya: “Demikianlah Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan sewenang-wenang.”

Dalam al-Qur’an, Allah s.w.t. juga membuat teladan bagaimana nasib orang yang sombong di hadapan kawan-kawan mereka. Di antaranya adalah cerita seseorang yang terlena dengan kekayaan yang melimpah dan pengikut yang banyak, sehingga ia mengingkarkan ke-Esaan Allah s.w.t. dan tidak percaya terhadap keberadaan hari akhir. Dia sombong di hadapan kawan-kawannya dan tidak mendengarkan nasihat dan peringatan sahabat-sahabatnya. Akhirnya dia merugi di dunia dan akhirat.

Berikut ini, kami akan memaparkan kumpulan ayat yang menceritakan seseorang yang sombong dan kawannya yang sangat rendah hati (tawādu‘). Kemudian kami akan menguraikan cerita mereka dengan lebih terperinci. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Kahfi, 18: 32-43, yang ertinya: “Dan berikanlah kepada mereka sebuah perumpamaan dua orang lelaki, Kami jadikan bagi seorang di antara keduanya (yang kafir) dua buah kebun anggur dan kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara kedua kebun itu Kami buatkan ladang. Kedua kebun itu menghasilkan buahnya, dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikitpun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah kedua kebun itu, dan dia mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya (yang Mukmin) ketika ia bercakap-cakap dengan dia: ‘Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat’. Dan dia memasuki kebunnya sedang ia zalim terhadap dirinya sendiri; ia berkata: ‘Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya, dan aku tidak mengira hari kiamat itu akan datang, dan jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu’. Kawannya (yang Mukmin) berkata kepadanya sedang dia bercakap-cakap dengannya: ‘Apakah kamu kafir kepada (Tuhan) yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setetes air mani, lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna? Tetapi aku (percaya bahwa): Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan Tuhanku. Dan mengapa kamu tidak mengucapkan tatkala kamu memasuki kebunmu "Māsyā Allah, lā quwwata illā billah" (Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan, maka mudah-mudahan Tuhanku, akan memberi kepadaku (kebun) yang lebih baik daripada kebunmu (ini); dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuan (petir) dari langit kepada kebunmu, sehingga (kebun itu) menjadi tanah yang licin; atau airnya menjadi surut ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemukannya lagi’. Dan harta kekayaannya dibinasakan, lalu ia membolak-balikkan kedua tangannya (tanda menyesal) terhadap apa yang ia telah belanjakan untuk itu, sedang pohon anggur itu roboh bersama para-paranya dan dia berkata: ‘Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan Tuhanku’. Dan tidak ada bagi dia segolonganpun yang menolongnya selain Allah; dan sekali-kali dia tidak dapat membela dirinya.”

Ulama ahli Tafsir menjelaskan cerita kedua orang yang disebutkan dalam ayat Al-Qur’an di atas dengan keterangan yang terperinci. Dari cerita itu kita dapat mengambil pengajaran betapa mulia dan bermanfaatnya sifat rendah hati (tawādu‘) bagi orang yang hendak menghias dirinya dengan sifat tersebut, dan kita juga boleh mengambil pengajaran betapa jeleknya akibat yang akan diperoleh bagi orang yang sombong.

Al-kisah, terdapat dua orang saudara seibu sebapa keturunan daripada Banī Isrā’īl. Meskipun mereka adalah saudara sekandung, namun kebiasaan dan tabiat mereka berbeza, seperti perbezaan satu pokok dengan pokok yang lainnya padahal tanah tempat pokok itu tumbuh adalah sama, atau seperti perbezaan bunga-bungaan padahal ia wujud daripada tangkai yang serupa.

Seorang bernama Yahūdhā. Ia adalah budak yang baik dan taat kepada perintah-perintah Tuhannya. Dia menyedari kemampuan dirinya sebagai seorang hamba Allah, ia selalu menjaga kemuliaan diri, lemah lembut, dan tidak tertarik dengan glamornya dunia.

Manakala saudaranya yang bernama Qutrūs adalah budak yang nakal, ingkar dan kafir terhadap kenikmatan Allah s.w.t., ia tamak, kikir dan bakhil, hatinya keras dan perangainya garang.

Mereka dibesarkan oleh ayahnya dalam keadaan yang berkecukupan. Sehingga akhirnya sang ayah meninggal dunia, dan meninggalkan harta berlimpah kepada keduanya. Harta tersebut dibagi sama rata kepada Yahūdhā dan Qutrūs, namun keduanya mengurusnya sesuai dengan kebiasaan, tabiat dan kecenderungan mereka masing-masing.

Yahūdhā membelanjakan hartanya itu untuk kemaslahatan agama. Dia berkata:

Wahai Tuhan. Saya akan keluarkan hartaku untuk mendapatkan redha-Mu. Saya akan gunakan semua hartaku itu untuk ketaatan kepada-Mu, mensyukuri nikmat-Mu dan mengharapkan surga-Mu.

Kemudian ia mensedekahkan hartanya, memberikan kepada orang yang meminta-minta dan orang yang memerlukan, ia juga membantu orang yang susah, menggunakan hartanya untuk kebajikan, membantu orang yang sangat susah hidup, sehingga akhirnya harta yang dimilikinya tinggal sedikit dan hampir habis, namun dia tetap merasa tenang, hatinya damai dan ia merasa cukup dengan harta yang tersisa.

Adapun Qutrūs, setelah ia menerima harta warisan dari ayahnya, dia langsung menyimpan dengan rapi dan menolak setiap orang yang meminta bantuan kepadanya. Dia menutup mata terhadap kebuluran dan kemiskinan yang menimpa orang-orang yang berada disekitarnya. Harta yang diperoleh, digunakan untuk membina benteng yang megah, dan untuk membina taman yang luas dan indah. Setelah sekian lama dirawat dengan baik, taman tersebut kelihatan indah penuh dengan tumbuhan yang rindang, berbuah banyak dan terasa sejuk. Tidak lama kemudian dia membuat kebun lagi di samping kebun  pertamanya itu.

Di antara kedua kebun tersebut, terhampar jalan yang indah dan cantik. Dia juga membuat perairan yang mencukupi untuk keperluan kebunnya. Di sepanjang saluran air, terdapat pokok kurma yang ditanam dengan rapi. Setiap orang yang melihat kedua kebun tersebut, pasti akan  merasa kagum dan merasa melihat surga yang berada di bumi dan akan kekal selamanya. Bagaimana tidak, pokoknya rindang dan sering berbuah, airnya sejuk dan banyak bunga di sekitarnya. Setiap mata yang melihat akan terpana dan terpesona.

Allah melapangkan rezeki bagi Qutrūs. Hartanya semakin banyak dan melimpah, kebunnya sering berbuah, anaknya semakin bertambah sehingga dapat membantu ayahnya mencari rezeki dan nafkah yang lebih.

Dalam keadaan yang berkecukupan seperti ini, semestinya Qutrūs merenung atas keagungan Pencipta yang telah banyak memberi anugerah kepadanya. Semestinya dia beriman, bertambah taat dan bersyukur kepada Allah s.w.t. Namun kenikmatan yang melimpah sering menutup mata hati seseorang. Dia terpesona dengan dunia yang didapat dan terjerembab dalam kelalian dan kekufuran, sehingga pada akhirnya dia mendapatkan musibah yang tidak terduga-duga. Di saat itulah dia baru sedar bahawa selama ini dia terlena dan lupa terhadap sang Pencipta. Begitulah keadaan Qutrūs yang semakin sombong dengan kenikmatan yang melimpah.

Suatu hari, Yahūdhā yang menaiki kuda bertemu dengan Qutrūs. Melihat keadaan Yahūdhā yang miskin, Qutrūs memandang dengan rendah, dan berkata kepadanya:

Mana harta, perak dan emasmu? Sungguh jauh perbezaan antara keadaanku dan keadaanimu. Kamu miskin, hina dan tidak mempunyai banyak kawan. Sedangkan aku adalah seorang yang kaya seperti yang kamu lihat, berkecukupan, sejahtera dan mulia, Saya mempunyai banyak harta, rumah dan para pembantu. Cobalah masuk ke surgaku, kamu akan melihat pokok-pokok yang rimbun, hijau dan sedap dipandang mata, air yang mengalir dan sejuk, buah-buah ranum bergelantungan. Lihatlah buah yang ini, dia selalu berbuah tiap tahun. Kebun ini adalah harta terindah yang saya yakini tidak akan berakhir dan rosak. Adapun hari kiamat yang kamu yakini akan terjadi, dan hari kebangkitan yang tidak lekas terjadi, saya tidak mempercayainya dan saya anggap sebagai pembicaraan yang tidak masuk akal. Kalaulah yang kamu katakan itu nanti benar-benar terjadi, maka saya yakin bahawa Allah akan memberi anugerah yang lebih baik kepadaku dari kebun milikku ini. Jika Allah telah membuatku kaya dan memberiku anugerah tak terkira di dunia ini, maka tidak ada yang menghalangi-Nya untuk memberiku anugerah yang lebih baik besok di akhirat.

 

Yahūdhā berkata kepada saudaranya itu:

Sungguh kamu telah kafir terhadap Allah, kerana kamu mengingkari hari kebangkitan. Di hari itu kamu dibangkitkan dari kematian dan amal perbuatanmu akan dihitung. Ketahuilah, Zat yang menciptakanmu mampu membangkitkanmu lagi dari kematianmu.

Kamu menganggap hina diriku kerana saya orang miskin. Dan kamu membanggakan dirimu, sombong dan takabbur dengan harta yang kamu miliki. Mungkin kamu hairan apabila saya berkata: “Sesungguhnya saya lebih kaya daripada kamu. Kekayaan bukanlah diukur dengan harta. Kekayaan diukur dengan kadar ke-zuhud-an seseorang terhadap kenikmatan dunia dan ketidak tergantungannya dengan kehidupan dunia. Janganlah kamu menilai seseorang dengan melihat harta yang dimilkinya. Kemuliaan menurutku adalah apabila saya diberi anugerah kecukupan dengan makanan yang cukup untuk menghilangkan rasa laparku, diberi anugerh kesihatan yang boleh membantuku untuk bekerja dengan sungguh-sungguh dan diberi anugerah rasa aman ketika berkumpul dengan para sahabat dan tidak ada pembatas antara diriku dan orang lain. Saya lebih suka merasa lapar kemudian memanjatkan doa kepada Allah supaya saya diberi anugerh rezeki dan makanan yang cukup daripada saya kaya namun sombong dan angkuh di hadapan orang lain, jauh dari masyarakat kerana mereka takut dengan kekuasaan yang saya miliki sehingga akhirnya saya jauh dari kasih sayang serta keredhaan Allah s.w.t. serta jauh dari agama dan syariat-Nya.

Sampai pada cerita ini, kita dapat mengajukan sebuah pertanyaan, apa yang menimpa Qutrūs yang sombong dan congkak itu?

Kebun yang menjadi kebanggaannya tertimpa musibah, musnah, rata dengan tanah. Yang tertinggal hanyalah penyesalan yang mendalam. Allah telah menurunkan balasan yang sesuai kepada orang yang ingkar dan menentang-Nya. Qutrūs tidak mengakui adanya kehidupan akhirat dan hari pembalasan. Dia sombong dan congkak, akhirnya dia mendapatkan siksa dari Allah yang tiada terkira. Di akhirat dia menyesal atas apa yang sudah terjadi, hal tersebut seperti yang difirmankan Allah dalam surah al-Kahfi, 18: 42, yang ertinya: “Aduhai kiranya dulu aku tidak mempersekutukan seorangpun dengan Tuhanku.”

Tiada lagi yang dapat membela dan menolongnya. Kawan, anak dan kekuasaan yang dibangga-banggakan tiada ertinya lagi di hadapan Allah pada hari kiamat. Maha Benar Allah s.w.t. yang berfiman dalam surah al-Kahfi, 18: 43, yang bererti: “Dan tidak ada bagi dia segolonganpun yang menolongnya selain Allah; dan sekali-kali dia tidak dapat membela dirinya.”







[1]  al-Sīrah li Ibn Hisyām.




[2]  Ihyā’ ‘Ulūm al-Dīn (3/299).




[3]  Ibid.




[4]  Tahdhīb al-Akhlāa (hal. 164).