Tampilkan postingan dengan label berkata baik atau diam. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label berkata baik atau diam. Tampilkan semua postingan

Berkata Baik, Memuliakan Tamu dan Menghormati Jiran

Tidak dapat diingkari bahawa mengucapkan perkataan yang baik, memuliakan tetamu dan menghormati jiran merupakan perbuatan-perbuatan yang mempunyai dampak positif, baik bagi si pelaku maupun bagi orang lain. Ketiga perbuatan mulia ini selalu dianjurkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. supaya manusia mempunyai keperibadian dan akhlak yang mulia, perkataan demi perkataan yang keluar dari mulut selalu tertata dan kemurahan hati terhadap orang lain menjadi kebiasaan umat manusia.

Dalam kitab al-Sahīh, Imam al-Bukhārī dan Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadith daripada Rasulullah yang menjelaskan tentang pentingnya tiga perbuatan mulia tersebut. Sahabat Abū Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ


Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah s.w.t.  dan hari akhir, maka hendaknya dia mengucapkan perkataan yang baik, atau (kalau tidak boleh mengucapkan perkataan yang baik) lebih baik diam (sahaja). Sesiapa yang beriman kepada Allah s.w.t.  dan hari akhir, maka hendaknya memuliakan jirannya dan sesiapa yang beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhir, hendaknya dia memuliakan tetamunya.” [1]

Ibn Hajar al-‘Asqalanī memberikan komen yang sangat baik terhadap hadith ini dalam kitab Fath al-Bārī. Dia berkata: Hadith di atas merupakan salah satu sabda Rasulullah yang termasuk kategori Jawāmi‘ al-Kalim (singkat namun mengandungi makna yang padat). Hadith tersebut menyinggung tiga hal sekaligus yang mencakup kemuliaan perilaku praktis dan juga sopan santun berbicara.

Di antara kata yang terdapat dalam hadith tersebut di atas yang perlu kita bincangkan adalah kata Yu’minu yang bererti “beriman”. Keimanan yang dimaksudkan di sini adalah keimanan yang sempurna yang dapat menyelamatkan seseorang dari siksa Allah s.w.t. dan mengantarkannya mencapai reda-Nya. inti asas dari keimanan adalah, keyakinan dan kepatuhan. Kata kedua yang perlu diperhatikan adalah kata al-Yaum al-Ākhir. Maksudnya  adalah hari kiamat di mana semua amal perbuatan manusia akan diberikan balasan. Kata fa al-Yukrim Jārahu (memuliakan jirannya) adalah kata lain yang penting dibincangkan. Ia mempunyai erti hendaknya orang tersebut berusaha melakukan kebaikan-kebaikan untuk jirannya dan pada waktu yang bersamaan menahan diri dari melakukan hal-hal yang merugikan, mengganggu dan menyakiti jirannya tersebut. Kata keempat yang perlu dijelaskan juga adalah kata fa al-Yukrim Daifahu (memuliakan tetamunya) iaitu dengan menyediakan hidangan kepada tetamu dan memperlakukannya dengan baik.

Melalui analisis sekejap sahaja kita boleh membuat kesimpulan bahawa hadith tersebut mempunyai makna yang dalam dan mengandungi nasihat dan petunjuk yang berharga. Di antaranya adalah:

  1. Di antara tanda kesempurnaan iman seseorang adalah selalu menghiaskan mulutnya dengan kata-kata yang baik dan menahan diri dari mengucapkan kata-kata yang kotor. Menguruskan pembicaraan (dengan baik) merupakan satu jenis amal kebajikan yang mempunyai manfaat besar, tidak hanya bagi orang yang melakukan, namun juga bermanfaat bagi orang lain yang mendengarkannya. Oleh kerananya dalam hadith ini Rasulullah s.a.w. sangat menganjurkan hal tersebut kepada kita. Beliau menegaskan bahawa di antara pengukur kesempurnaan keimanan dan keislaman seseorang adalah manakala dia selalu menghias mulutnya dengan perkataan-perkataan yang bermanfaat bagi kehidupannya di dunia maupun di akhirat. Manfaat dari perkataan yang baik ini tidak hanya dirasakan oleh orang yang mengucapkannya sahaja, namun orang lain juga turut merasakan kebahagiaan dan ketenangan apabila mendengar perkataan tersebut. Di samping itu, pada waktu yang sama seseorang mestilah menahan dirinya daripada mengucapkan kata-kata yang dapat menimbulkan sakit hati ataupun kerosakan-kerosakan yang lain, terlebih lagi apabila kata-kata tersebut dapat menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t..


Imam Ahmad meriwayatkan dari sahabat Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

لَا يَسْتَقِيمُ إِيمَانُ عَبْدٍ حَتَّى يَسْتَقِيمَ قَلْبُهُ وَلَا يَسْتَقِيمُ قَلْبُهُ حَتَّى يَسْتَقِيمَ لِسَانُهُ


Maksudnya: “Tidak akan sempurna iman seseorang kecuali apabila hatinya telah lurus (bersih). Dan hati seseorang tidak akan lurus kecuali jika lisannya telah terjaga (dari ucapan-ucapan yang kotor dan keji).”

Imam al-Tabrānī juga meriwayatkan sebuah hadith dari sahabat Anas r.a. yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang hamba tidak akan sampai pada tingkat keimanan yang sebenar kecuali setelah dia mampu menjaga lisannya.” Maksudnya adalah, sehingga ia mampu menahan mulutnya dari perkataan-perkataan yang tidak baik (kotor).

  1. Banyak bercakap yang tidak berguna adalah sumber bencana dan malapetaka, begitu juga sebaliknya, menjaga lisan dari ucapan-ucapan kotor dan dosa adalah sumber keselamatan. Rasulullah s.a.w. bersabda:


مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ


Maksudnya: “Di antara tanda keislaman seseorang itu sudah baik, adalah apabila dia mampu meninggalkan hal-hal yang tidak berguna baginya.”

Membicarakan hal-hal yang tidak berguna (tidak bermanfaat) dapat menghapuskan pahala amal kebajikan dan menghalangi kita masuk surga. Jika seorang muslim akan berbicara, hendaknya ia mempertimbangkan dahulu manfaat pembicaraannya tersebut. Jika dia yakin bahawa apa yang akan dikatakan itu membawa kebaikan dan pahala maka bolehlah dia mengatakannya. Namun apabila dia merasa perkataannya itu kotor dan akan menimbulkan kebatilan atau dia masih ragu-ragu akan manfaat ucapannya tersebut, hendaknya ia menahan diri dan tidak mengucapkannya. Sikap seperti ini lebih baik dan lebih aman bagi dirinya, kerana setiap perkataan yang keluar dari mulut seseorang pasti diperhitungkan oleh Allah s.w.t., dan besok di hari kiamat akan diminta pertanggungjawabannya, jika perkataan itu baik maka ia akan mendapatkan pahala, namun apabila perkataannya jelek dan kotor, maka ia akan mendapatkan siksa. Allah s.w.t. berfirman dalam surah Qāf, 50: 18, yang ertinya: “Tiada suatu ucapanpun yang diucapkan melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.”

Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لَا يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ


Maksudnya: “Sesungguhnya, jika seorang hamba mengucapkan perkataan yang diredai Allah s.w.t. dan ia menganggap perkataannya itu biasa-biasa saja (tiada keistimewaan), maka Allah akan mengangkat derajat orang tersebut sebab perkataan baiknya itu. (Begitu pula) jika seorang hamba mengucapkan perkataan yang dimurkai Allah s.w.t. dan ia menganggap perkataannya itu biasa-biasa saja, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka Jahannam sebab perkataannya itu.”[2]

Sesuai juga apabila dalam penjelasan ini dipaparkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh sahabat Mu‘ādh r.a. yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada yang menjerumuskan manusia masuk ke dalam neraka kecuali akibat dari perkataan mulutnya.”

3. Nilai-nilai lain yang dapat didapatkan dan diambil dari hadith di atas adalah cara (aturan) berbicara yang digariskan oleh ajaran Islam. Di antara aturan tersebut adalah:

Pertama, setiap perkataan yang keluar dari mulut setiap muslim mestilah perkataan yang pilihan dan mempunyai manfaat baik bagi dirinya sendiri serta bagi orang lain. Perkataan-perkataan yang diharamkan mestilah dihindarkan. Di antara ciri tanda-tanda orang yang beriman adalah menjaga mulutnya dari mengucapkan hal-hal yang tidak berguna sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Mu’minūn, 23: 3, yang ertinya: “Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari al-laghwu (perkataan yang tiada berguna).” Maksud al-laghwu adalah ucapan-ucapan yang mengandung dosa, seperti menggunjing, mengadu atau menodai kehormatan orang lain.   

Kedua, menghindarkan diri daripada banyak berbicara, walaupun yang dibicarakan adalah hal-hal yang dibolehkan agama. Hal ini kerana di saat seseorang banyak bicara, dengan tanpa ia sedari ia terlepas kendali sehingga mengucapkan hal-hal yang diharamkan atau dimakruhkan. Sahabat Ibn ‘Umar r.a. meriwayatkan bahawa nabi Muhammad s.a.w. bersabda:

لَا تُكْثِرُوا الْكَلَامَ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ فَإِنَّ كَثْرَةَ الْكَلَامِ بِغَيْرِ ذِكْرِ اللَّهِ قَسْوَةٌ لِلْقَلْبِ وَإِنَّ أَبْعَدَ النَّاسِ مِنْ اللَّهِ الْقَلْبُ الْقَاسِيْ


Maksudnya: “Janganlah kalian banyak berbicara dengan tanpa mengingat Allah s.w.t.. Kerana sesungguhnya banyak berbicara dengan tanpa ingat kepada Allah s.w.t. dapat menyebabkan hati keras. Sedangkan orang yang paling jauh dari Allah s.w.t. adalah orang yang mempunyai hati keras.”[3]

Berkata sahabat ‘Umar r.a.: “Sesiapa yang banyak bicara, maka banyak salahnya. Sesiapa yang banyak salahnya maka ia banyak dosanya. Sesiapa banyak dosanya maka tempat yang tepat baginya adalah neraka.”

Ketiga, jika suatu perkataan dimaksudkan untuk kemaslahatan, menegakkan kebenaran dan amar ma‘rūf nahi munkar, maka wajib hukumnya untuk menyampaikannya, bahkan itu termasuk perbuatan yang sangat terpuji. Sebaliknya, jika terdapat keadaan yang menuntut untuk perbaikan, sedangkan orang-orang enggan mengadakan pembenahan dengan memberi nasihat atau dengan yang lain, maka mereka telah melakukan maksiat dan dosa. Orang yang diam tidak menegakkan kebenaran bagaikan syaitan yang bisu.

Keempat, Dalam hadith di atas juga dijelaskan bahawa memperhatikan hak-hak jiran dan tetamu serta menahan diri untuk tidak menggacau atau menyakiti mereka merupakan manifestasi dari kesempurnaan iman dan Islam. Di samping itu, dalam al-Qur’an surah al-Nisā’, 4: 36, Allah s.w.t. berfirman yang ertinya: “Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran yang dekat dan jiran yang jauh (al-jār al-junub), teman sejawat (al-sāhib bi al-jambi).” Jika kita meneliti dengan seksama terhadap ayat ini, maka kita akan menemukan bahawa pertama-tama Allah memerintahkan manusia untuk beribadah hanya kepada-Nya, kemudian Dia memerintahkan manusia untuk berbuat baik kepada sesama, di antaranya adalah kepada jiran. Sehingga berdasarkan ayat al-Qur’an ini, maka berbuat baik kepada jiran merupakan hal yang sangat penting sekali.

Erti dari kata al-jār al-junub dalam ayat tersebut adalah jiran yang jauh atau kerabat yang hubungan nasabnya jauh. Sedangkan yang dimaksudkan dengan al-sāhib bi al-jambi adalah kawan dalam perjalanan atau lainnya.







[1]  H. R. al-Bukhārī dan Muslim. Imam al-Bukhārī meriwayatkan hadith ini dalam al-Sahīh, Kitāb al-Adab, Bāb Man Kāna Yu’minu Billahi wa al-Yaum al-Ākhir falā Yu‘zī Jārahu, hadith no. 5672. Adapun Imam Muslim meriwayatkan hadith ini dalam al-Sahīh, Kitāb al-Īmān, Bāb al-Haththu ‘alā Ikrām al-Jār wa Luzūm al-Sumt illa ‘an al-Khair, wa Kaunu Dhālik Kullihi min al-Īmān. Hadith no. 47




[2] H. R. al-Bukhārī




[3]  H. R. al-Tirmidhī.